Cerpen: Hidup Umpama Jaukal

Jaukal buka mata. Oh, rupanya dia sudah berada di hospital. Hospital mana? Penting untuk Jaukal tahu sama ada dia terlantar di hospital swasta atau kerajaan sebab dia bukannya ada duit sangat.

Tapi siapa yang hantar Jaukal ke mari? Kalau ikut teori Jaukal, siapa yang menghantarnya mestilah kena jelaskan bil sekali.

Jaukal pegang kepalanya yang berbalut. Sakitnya bukan kepalang. Jaukal cuba buat kuiz mudah mengenai dirinya. Mana tahu entah-entah otaknya dah 'terformat'. Licin. Kosong.

Masuk soalan yang ketujuh, pintu biliknya dibuka. Kelihatan seorang lelaki kaya dan seorang gadis cantik pada pandangan Jaukal masuk dan berdiri betul-betul di sebelah kanannya. Siapa pula dah ni?

Lelaki kaya terus memperkenalkan dirinya sebagai orang yang melanggar Jaukal. Biadab sungguh. Tak ada tapis-tapis. Mahu saja Jaukal tumbuk muka lelaki kaya yang beruban itu dengan buku limanya. Tapi apabila mengenangkan bil hospital, Jaukal sorok genggamannya dalam selimut.

Perempuan itu pula anaknya. Mereka rasa bersalah katanya. Dengan tak ada persetujuan daripada Jaukal, lelaki kaya itu terus mengangkat Jaukal sebagai anaknya. Biadab. Tapi demi bil hospital, dia terus kemas-kemas baju dan ikut mereka pulang ke rumah.

Rumahnya besar benar. Lebih kurang besar sekolah rendah Jaukal dulu - pagar beroda, ada sekuriti, tempat parkir beberapa petak berserta kereta beberapa buah, padang yang luas, ada tiga buah blok rumah, bilik ada banyak dan ada kantin. Semua lengkap. Jaukal seronok gila. Dia rasa muda kembali dan bersedia nak belajar kira buah epal macam kat sekolah dulu.

Lelaki kaya itu terus bawa Jaukal ke salah satu bilik yang besar. Dahsyat pengalaman Jaukal waktu itu. Bukan semua orang boleh rasa. Dan dia rasa tak rugi kalaupun otaknya 'terformat' sebab kehidupan Jaukal yang sekarang ni jauh lebih baik. Jauh lebih cerah.

Pada bulan ketujuh Jaukal hidup sebagai orang kaya dan dilayan seperti raja, lelaki kaya itu akhirnya mati. Kalau lelaki itu mati dengan tenang, Jaukal pun boleh tumpang gembira sebab mungkin hartanya jatuh ke tangan Jaukal. Satu per empat pun jadilah. Tapi malangnya, cara dia mati buat Jaukal rasa cuak.

Lelaki kaya beruban itu mati ditikam di atas katilnya sendiri. Tengah Jaukal tak tahu nak buat apa, anak perempuannya panggil Jaukal turun bawah untuk bersarapan. Jaukal pun turun untuk makan sebab dia pun tak ada benda nak buat.

Pagi tu, sarapan seperti biasa. Nasi lemak, nasi goreng, mi goreng, kuey teow goreng, kuih-muih, bijirin, salad, buah-buahan, roti bakar, air oren, air tembikai, air tembikai susu, air belimbing dan susu. Macam bufet di hotel. Mewah bukan? Jaukal sempat ketawa dalam hati sebab masih hidup dalam kekayaan.

Tapi muka Jaukal serius. Sebab dia tahu apa yang terjadi kat atas. Kat dalam bilik abah perempuan yang tengah sapu jem pada roti bakar tu. Tapi perempuan ni tahu ke?

Soalan Jaukal dibalas dengan satu renungan statik. Aktiviti sapu jem dihentikan serta-merta. Tiba-tiba dia jawab, "Tahu."

Jaukal telan air liur. Kalau dia tahu dan tak risau, kenapa pula Jaukal kena risau? Jadi, Jaukal terus cedok nasi lemak, nasi goreng, mi goreng dan kuey teow goreng ke dalam pinggan besar yang diletakkan betul-betul depan mukanya.

Setelah pinggan pertama habis, Jaukal cuba untuk makan bijirin pula. Waktu dia angkat kepala untuk ambil Koko Krunch, Cornflakes, Honey Star dan bijirin Kellogg's, Jaukal lihat gadis itu masih tak bergerak. Masih memandang ke arah Jaukal.

Saat ni, Jaukal mula seram. Apa kena dengan perempuan ni?

Soalan Jaukal dijawab dengan soalan yang tak perlu ditanya pun sebenarnya, "Sedap?"

Dah tujuh bulan Jaukal macam ni, kenapa baru hari ni nak tanya? Jaukal angguk.

Dia hulur tangan yang dia pegang roti bakar pada Jaukal, "Nak roti?"

Jaukal nak sebenarnya, tapi apabila dia nampak saja roti tu penuh dengan darah, Jaukal tahu ada sesuatu yang tak betul terjadi dalam rumah ni.

Dengan pantas, Jaukal terus cabut lari. Dia lihat pengawal pun dah kena tikam macam lelaki kaya tu. Ah! Sekarang yang hidup dan mampu untuk membunuh adalah Jaukal dan perempuan tu saja. Tapi kalau Jaukal yang bunuh, kenapa pula dia tengah lari? Nampak jelas yang pembunuhnya ada gadis cantik itu.

Jaukal lari sekuat hati sebab dia positif, dalam filem-filem yang dia tonton kat pawagam, orang jahat mesti akan kejar di belakang. Sampai di satu selekoh, Jaukal dilanggar oleh seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi. Dia melambung dan jatuh tergolek-golek ke tepi jalan. Sumpah sakit!

Jaukal terbaring di atas rumput. Nak bangun tak larat. Nak lari lebih mustahil. Jadi, dia baring saja. Dalam beberapa minit, tak ada yang menolong Jaukal. Hanya ada beberapa orang saja yang lalu-lalang sambil menyampaikan rasa kasihan pada Jaukal dan terus berlalu pergi. Biadab.

Jaukal positif yang dia kena langgar lari. Dia tak akan jadi kaya lagi. Dia tak akan hidup senang lagi. Dia tak akan rasa muda dan boleh belajar kira buah epal lagi. Segala-galanya dah gelap. Jaukal sedar dia kena tanggung semua ni seorang diri. Dia mungkin akan jadi cacat. Orang cacat selalu dipandang busuk oleh masyarakat. Jadi, Jaukal tak boleh kerja. Hanya perlu tunggu di satu tempat dan menagih simpati orang. 

Semuanya berlaku sepantas kilat. Jaukal susah mulanya. Perlahan-lahan dia hidup senang dalam sekelip mata. Dan sekarang, kesenangan yang dia dapat 'dirampas' dengan tiba-tiba tanpa Jaukal tahu sebab apa ia terjadi. Jaukal sedar dia perlu 'bangun'. Bangun membela nasib sendiri. Orang hanya boleh simpati dan pergi, tapi yang boleh mengubah hidup Jaukal adalah dirinya sendiri.

Jaukal agak, inilah hikmahnya kenapa dia masih hidup.

Cerpen: Cara Menangani Rumah Dipecah Masuk


Yusalman geleng kepala. Hati sakit, kepala semak, telinga pedih. Entah apa salahnya. Kerja bagus, duit banyak, hati budi okey. Apa yang kurang? Mungkin bini kut. Bukan tak ada, tapi ada yang kurang pada bini Yusalman.

Temah masih bercakap betul-betul depan muka suaminya. Lebih kepada membebel sebenarnya. Temah 'bersyarah' seolah-olah apa yang terjadi adalah salah Yusalman. Jarinya semua dituding ke arah Yusalman. Ini semua sebab Yusalman, itu semua sebab Yusalman. Semak kepala Yusalman.

"Mah dah cakap, rumah kita ni kena ada dawai kawat. Letak anjing depan tu. Lepas tu, upah pengawal. Tak adalah orang berani nak masuk. Tapi abang degil. Kata ini membazir, itu membazir. Sekarang ni, barang-barang kemas Mah dah hilang. Abang nak tanggung?"

Yusalman hanya tunduk diam. Memang dia akan tanggung pun kalau semua barang-barang bininya dirembat penyamun. Sudah pada mulanya pun dia yang belikan barang-barang itu semua. Lepas hilang, dia juga yang menggantinya.

"Abang tak risau ke? Setiap bulan rumah kita kena pecah. Macam kita ni majikan penyamun pula. Setiap bulan 'bayar gaji'. Dah 12 kali tau. Tapi abang langsung tak nak ikut cakap Mah."

Setelah habis air liurnya kering, Temah tinggalkan Yusalman sendirian di sofa. Hatinya makin panas apabila melihat suaminya hanya diam tidak berkata-kata.

"Baik Mah mati sajalah, bang! Biar Mah jadi hantu dan cekik penyamun tu kalau dia nak rompak! Kalau harapkan abang, memang tak boleh harap!" Suara Temah sempat bergema dalam rumah yang hampir licin itu sebelum hilang bayangnya dari pandangan Yusalman.

Yusalman mula berfikir. Tanpa suara Temah, otaknya mula tenang. Apabila otak tenang, barulah ada ruang untuk idea beranak-pinak.

Hmm... betul kata Mah tu, fikir Yusalman lantas bangun dari sofa menuju ke bilik.

* * *

Bulan baharu mula masuk. Yusalman berdebar-debar. Bila-bila masa saja penyamun itu akan 'tuntut gaji'. Dia harap sangat rancangan Temah kali ini berjaya menggagalkan rancangan pencuri itu.

Tepat pukul enam petang, Yusalman tiba di rumahnya. Beg bimbit dia pegang dengan erat. Hatinya bertambah laju berdegup apabila melihat pintu rumahnya dikopak orang.

Perlahan-lahan Yusalman masuk rumah dan memeriksa semua perkakas rumahnya. Masih ada. Langsung tidak diusik.

Yusalman tersengih sendiri. Dia tahu rancangan bininya memang terbaik. Menyesal dia tidak dengar dari dulu. Tidak perlulah dia bertukar ganti barang yang dirembat sejak 12 bulan yang lalu.

"Mah, kau memang bijak. Lepas ni, dah tak ada penyamun akan pecah masuk rumah kita," kata Yusalman sambil mendongak. Mayat Temah yang tergantung di kipas siling benar-benar menakutkan penyamun yang pecah masuk tadi.

 
Bila aku nak kongsi, © 2012 | Designed by Rumah Dijual, in collaboration with Buy Dofollow Links! =) , Lastminutes and Ambien Side Effects
Edited by Dihsar Ludba Haqifa